Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia dijangka berdepan risiko banjir lebih tinggi

    JAKARTA, 14 SEPT – Indonesia dijangka mengalami tempoh puncak musim hujan yang lebih panjang daripada biasa tahun ini, meningkatkan risiko banjir dan hujan lebat di banyak kawasan di negara Asia Tenggara itu, ramal agensi cuacanya kelmarin.

    Musim hujan di kepulauan yang mempunyai lebih 17,000 pulau itu bermula bulan ini dan berakhir pada April 2026, kata Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG), Dwikorita Karnawati, dalam sidang media.

    Tempoh puncak musim hujan akan bermula pada November dan Disember tahun ini bagi pulau Sumatera dan Borneo, manakala Jawa, Sulawesi, Maluku dan Papua akan mengalami tempoh puncak dari Januari hingga Februari 2026, tambah beliau.

    “Kita mesti berwaspada kerana puncak musim hujan agak panjang dan berlaku hampir di semua kawasan di Indonesia,” katanya.

    “Risiko banjir adalah tinggi antara November tahun ini hingga Februari tahun depan,” kata Guswanto, seorang lagi pegawai di agensi tersebut.

    Agensi itu juga memberi amaran mengenai hujan lebat dalam tempoh singkat. Dwikorita berkata beberapa kawasan boleh menerima jumlah hujan setara sebulan dalam hanya satu hari.

    Pulau peranginan Bali dilaporkan mengalami hujan setara sebulan dalam dua hari baru-baru ini, menurut agensi itu.

    Hujan lebat pada Selasa dan Rabu menyebabkan banjir di ibu negeri Bali, Denpasar, dan enam wilayah lain, mengorbankan 18 orang serta memaksa lebih 500 orang dipindahkan. – Reuters

    Seorang lelaki (kanan) berjalan di atas runtuhan sebuah bangunan yang roboh akibat banjir di Denpasar, pulau peranginan Bali, Indonesia, pada 12 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda