PEKANBARU, 13 SEPT – Hampir seribu orang mengadakan solat hajat mendoakan hujan turun di bandar diselubungi jerebu tebal di Indonesia hari ini, terdesak mengharapkan hujan akan memadamkan kebakaran hutan dan menghapuskan kabut toksik yang menyelubungi sebahagian besar negara itu dan memaksa penutupan besar-besaran sekolah.
Pembakaran haram bagi membersihkan tanah untuk pertanian menyemarakkan api di Sumatera, Indonesia dan pulau Borneo dengan anggota bomba dan penyelamat bertungkus-lumus memadamkan hutan yang rentung manakala helikopter bom air dikerahkan bagi meredakan kebakaran.
Asap tebal menyelubungi Pekanbaru, sebuah ibu kota wilayah Sumatera, mengakibatkan awan hitam meskipun pada waktu tengah hari, manakala penduduk bimbangkan kesihatan mereka.
Sekitar 1,000 orang penduduk Pekanbaru — kebanyakan berpakaian putih dengan topeng muka — menunaikan sembahyang hajat selepas sembahyang Jumaat di kawasan terbuka, di tengah-tengah asap tebal dan bertoksik.
“Saya bersembahyang dan berdoa agar hujan segera turun dan jerebu ini hilang tidak lama lagi,” kata seorang pesara kerajaan berusia 57 tahun, Rahmad. “Ia amat teruk dalam masa sebulan ini—saya tidak dapat bernafas jika saya tidak memakai topeng. Sebahagian daripada jiran saya sakit teruk,” katanya memberitahu AFP.
Kebakaran hutan merupakan masalah tahunan di negara itu namun tahun ini, ia semakin memburuk akibat cuaca kering. Kebimbangan antarabangsa turut meningkat ke atas impak jangka panjang kebakaran seumpamanya memandangkan hutan hujan memainkan peranan penting melindungi bumi daripada pemanasan global.
Dalam pada itu, gabenor tengah Kalimantan di kepulauan Borneo yang juga teruk dilanda jerebu dan dikongsi bersama Indonesia dengan Malaysia dan Brunei—hari ini mengatakan hampir3.900 sekolah akan ditutup sementara bagi melindungi pelajar, dengan lebih 9,000 ditutup di Sumatera.
Malaysia turut menutup sejumlah besar sekolah di kawasan yang dilanda jerebu teruk di Kuala Lumpur. Manakala Singapura juga memberi amaran kepada penduduknya untuk mengurangkan aktiviti luar rumah memandangkan jerebu toksik Indonesia kini merebak ke sebahagian besar ASEAN. –AFP
