JAKARTA, 22 SEPT – Indonesia dan Kesatuan Eropah (EU) akan menandatangani perjanjian perdagangan hari ini selepas hampir 10 tahun rundingan ketika mereka berusaha untuk mengurangkan kesan dasar tarif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Perjanjian itu, yang akan ditandatangani di pulau peranginan Bali, akan membawa Indonesia yang kaya dengan sumber dan blok Eropah yang terdiri daripada 27 anggota kepada hubungan ekonomi yang lebih erat.
Ia merupakan perjanjian perdagangan ketiga yang ditandatangani EU dengan negara-negara Asia Tenggara, selepas Singapura dan Vietnam.
Indonesia telah mengadakan rundingan dengan EU sejak 2016 bagi perjanjian perdagangan tetapi pada awalnya ia hanya menyaksikan sedikit kemajuan.
Isu seperti minyak sawit dan penebangan hutan menjadi cabaran tetapi dasar tarif menyeluruh Presiden AS, Donald Trump memberi tekanan untuk mempercepatkan perjanjian, kata Deni Friawan, penyelidik di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS).
Pada Julai lalu, Presiden Prabowo Subianto mengadakan lawatan ke Brussels dan mengumumkan bersama Ketua EU, Ursula von der Leyen bahawa kedua-dua pihak telah mencapai perjanjian politik untuk memuktamadkan perjanjian itu selepas 19 pusingan rundingan.
Ketua Menteri Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto berkata ketidaktentuan yang disebabkan oleh perang tarif dan sekatan perdagangan antara negara-negara utama mendorong kedua-dua pihak mencari kepastian melalui perjanjian dua hala yang stabil. – AFP










