JAKARTA, 3 OKT – Kerajaan Indonesia hari ini menggantung lesen operasi aplikasi perkongsian video TikTok selepas platform itu enggan berkongsi data berkaitan protes antikerajaan baru-baru ini, menurut Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital.
Indonesia merupakan pasaran kedua terbesar bagi TikTok, yang dimiliki syarikat China, Bytedance, dengan lebih 100 juta pengguna.
Kementerian itu memaklumkan lesen operasi aplikasi berkenaan digantung sementara kerana gagal memberikan data mencukupi mengenai aktiviti ciri siaran langsung semasa protes antikerajaan pada Ogos lalu.
“Tindakan ini adalah bukti ketegasan kerajaan selepas TikTok hanya menyerahkan data separa,” kata Ketua Pengarah Pengawasan Ruang Digital, Alexander Sabar, dalam kenyataan.
Kerajaan turut meminta TikTok menyerahkan data trafik dan maklumat lain berkaitan ‘penjanaan wang’ daripada aktiviti langsung akaun yang disyaki terbabit dalam perjudian dalam talian. TikTok diberikan tempoh sehingga 23 September lalu untuk menghantar data tersebut namun gagal berbuat demikian.
Dalam kenyataan balas, TikTok menegaskan syarikat mematuhi undang-undang di setiap pasaran dan kini bekerjasama dengan kementerian sementara kekal komited melindungi privasi pengguna serta memastikan platform selamat dan bertanggungjawab di Indonesia. – AFP


