ISTANBUL, 19 MAC – Indonesia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan masyarakat antarabangsa kelmarin mengambil tindakan terhadap serangan baharu Israel ke atas Gaza dan mengembalikan gencatan senjata bagi mengelakkan korban jiwa dalam kalangan orang awam, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan di X, Kementerian Luar Indonesia menyatakan Jakarta menganggap serangan itu sebagai, “siri provokasi berterusan Israel yang mengancam gencatan senjata dan menjejaskan prospek untuk rundingan aman ke arah Penyelesaian Dua Negara.”
Ia susulan serangan udara baharu oleh Israel yang telah membunuh lebih 400 rakyat Palestin, termasuk ramai wanita dan kanak-kanak.
Jakarta juga berkata bahawa menghentikan, “pendudukan haram Israel adalah satu-satunya jalan untuk mencapai keamanan yang adil dan berkekalan di rantau itu.”
Tentera Israel membedil Semenanjung Gaza awal kelmarin, membunuh sekurang-kurangnya 404 orang dan mencederakan ratusan yang lain serta melanggar perjanjian gencatan senjata dengan kumpulan Palestin Hamas yang berkuat kuasa pada 19 Januari, menurut Kementerian Kesihatan Palestin. – Bernama/Anadolu
