Monday, July 1, 2024
23 C
Brunei

    -

    Indonesia hadapi trend peningkatan bencana – BNPB

    JAKARTA, 28 JUN – Indonesia menyaksikan peningkatan trend bencana tahun ini, merekodkan 1,000 kejadian menjelang pertengahan tahun 2024 berbanding 5,400 insiden sepanjang tahun 2023, dengan purata 20 insiden sehari, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB).

    Ketua BNPB, Leftenan Jeneral Suharyanto menegaskan bahawa bencana itu terutamanya letusan gunung berapi dipengaruhi oleh faktor seperti pertumbuhan penduduk, pengurusan alam sekitar dan perubahan iklim.

    “Walaupun jumlah bencana meningkat setiap tahun, tahap risiko cenderung menurun disebabkan oleh usaha bersepadu dalam mitigasi, kesiapsiagaan dan sistem amaran awal yang berkesan, yang difasilitasi melalui kerjasama antara komuniti dan pihak berkuasa,” katanya.

    Kenyataannya itu susulan pemerhatian beliau terhadap penduduk dari Kampung Girikerto di Sleman, Yogyakarta, menjalankan latihan pemindahan diri kelmarin untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan risiko dari letusan Gunung Merapi, menurut kenyataan BNPB, hari ini.

    Suharyanto menyatakan peningkatan ketara dalam insiden bencana daripada letusan gunung berapi pada 2024, khususnya letusan Gunung Marapi di Sumatera Barat baru-baru ini yang berlaku kira-kira dua bulan lalu, menyebabkan 72 kematian dan kerosakan material yang signifikan.

    Penilaian awal oleh BNPB mendedahkan bahawa Gunung Marapi kini hanya mempunyai dua daripada 56 empangan penyekat yang dirancang untuk disiapkan menjelang 2026 bagi mitigasi aliran lahar manakala Gunung Merapi mempunyai lebih daripada 200 empangan penyekat sebagai penghalang.

    Mengenai Gunung Ruang di Sitaro, Sulawesi Utara, beliau menyatakan bahawa amaran awal dan pemindahan yang tertangguh boleh menyebabkan kematian, kerana kira-kira 830 penduduk masih tinggal berhampiran gunung itu, di mana dua kampung musnah sepenuhnya oleh letusan berkenaan. – Bernama

    Gambar SINDO news
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Xi akan lawat Kazakhstan, Tajikistan 2 Julai

    BEIJING, 30 JUN - Presiden China, Xi Jinping akan menghadiri mesyuarat pemimpin dan mengadakan lawatan negara ke Kazakhstan dan Tajikistan mulai Selasa ini, kementerian...