Friday, September 20, 2024
34.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia halang masuk bot pelarian Rohingya

    JAKARTA, 28 DIS – Tentera laut Indonesia hari ini berkata mereka telah menolak secara paksa sebuah bot yang penuh dengan pelarian kembali ke perairan antarabangsa selepas bot itu menghampiri pantai wilayah Aceh.

    Wilayah yang menjadi sebahagian daripada pulau Sumatera itu telah menyaksikan peningkatan jumlah bot yang tiba, kebanyakannya membawa pelarian Rohingya dari selatan Bangladesh. Sebahagian besar pelarian Rohingya melarikan diri ke Bangladesh pada 2017 berikutan serangan tentera ke atas anggota minoriti Islam yang teraniaya di tanah air mereka di Myanmar.

    Tentera laut Indonesia berkata sebuah kapal pengawal pantai mengesan sebuah bot yang dipercayai membawa pelarian Rohingya memasuki perairan Indonesia kelmarin.

    Helikopter dari kapal tentera laut kemudian melihat sebuah kapal kayu berhampiran pulau Weh di wilayah Aceh utara, kata tentera laut.

    Kapal tentera laut KRI Bontang-907 menemui bot itu kira-kira 72 batu di luar pantai Indonesia dan menghalaunya keluar, ‘memastikan bot itu tidak kembali ke perairan Indonesia,’ kata tentera laut dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman webnya.

    Indonesia telah merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk mendapatkan bantuan dan meningkatkan rondaan di perairannya berikutan peningkatan mendadak pelarian Rohingya yang meninggalkan kem yang sesak di Bangladesh sejak November.

    Lebih 1,500 Rohingya telah tiba di Aceh dan berdepan beberapa permusuhan daripada sesama Islam.

    Sekumpulan pelajar kelmarin telah menyerang ruang bawah tanah dewan masyarakat tempatan di Banda Aceh, ibu kota wilayah Aceh, di mana kira-kira 137 Rohingya berteduh.

    Rakaman yang diperoleh The Associated Press menunjukkan sekumpulan besar pelarian, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menangis dan menjerit ketika kumpulan yang memakai jaket hijau universiti dilihat melanggar kepungan polis dan memaksa Rohingya naik ke belakang dua trak. – AP

    Wanita dan kanak-kanak etnik Rohingya menaiki trak untuk dipindahkan dari tempat perlindungan sementara mereka di Banda Aceh, wilayah Aceh, Indonesia. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda