Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia hampir muktamad perjanjian perdagangan dengan EU

    JAKARTA, 11 JUN – Indonesia dijangka memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU) menjelang akhir tahun ini bagi memperluas akses pasaran dan menarik pelaburan asing, menurut pegawai kerajaan.

    Kedua-dua perjanjian itu ialah Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Indonesia-EU (CEPA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Indonesia-EAEU.

    Menteri Perdagangan Budi Santoso berkata perjanjian berkenaan penting dalam situasi ketidaktentuan perdagangan global dengan potensi untuk mempelbagaikan pasaran eksport Indonesia dan menyediakan alternatif bagi produk yang terjejas akibat dasar tarif Amerika Syarikat (AS).

    “Rundingan berjalan lancar dan kami menyasarkan untuk menyelesaikannya tahun ini.

    Kami akan memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh sektor perniagaan dan rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Perjanjian itu bertujuan mengurangkan halangan tarif dan bukan tarif ke atas eksport utama Indonesia seperti minyak sawit, produk pertanian, tekstil dan elektronik selain turut merangkumi pelaburan, kemampanan dan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

    Rundingan dengan EU bermula pada 2016 manakala rundingan dengan EAEU yang dianggotai Rusia, Kazakhstan, Belarus, Armenia dan Kyrgyzstan, dilancarkan pada 2022.

    Menurut Kementerian Perdagangan, jumlah dagangan Indonesia dengan EU mencecah AS$30.1 bilion pada 2024 dengan lebihan dagangan sebanyak AS$4.5 bilion manakala dagangan dengan EAEU bernilai AS$4.1 bilion dengan defisit sebanyak AS$1.1 bilion.

    Kementerian itu berkata perjanjian berkenaan dijangka dapat mempelbagaikan pasaran eksport dan mengukuhkan kedudukan Indonesia sebagai pemain ekonomi utama di Asia Tenggara – Bernama

    Budi Santoso (kanan) dan Menteri Perdagangan Perancis Laurent Saint-Martin menghadiri mesyuarat di pejabat Kementerian Perdagangan di Jakarta pada 9 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda