Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia hantar bahan api pesawat dari minyak terpakai

    JAKARTA, 13 OGOS – Syarikat minyak dan gas milik negara Indonesia, PT Pertamina, telah menyiapkan penghantaran pertama bahan api pesawat yang dihasilkan daripada minyak masak terpakai, kata Timbalan Presiden Pengarahnya, Oki Muraza kelmarin, lapor Xinhua.

    Bahan api penerbangan mampan itu, berjumlah 32 kiloliter, dihasilkan di loji penapisan Pertamina di wilayah Cilacap, Provinsi Jawa Tengah, katanya.

    “Kami akan terus memperluaskan kapasiti pemprosesan bersama di loji penapisan lain, termasuk di Dumai, Provinsi Riau dan Balongan, Provinsi Jawa Barat, bagi menjadikan Indonesia sebagai hab serantau untuk bahan api mesra alam,” katanya pada sidang akhbar di Cilacap.

    Beliau berkata pencapaian itu akan mengukuhkan lagi usaha Indonesia untuk beralih daripada bahan api fosil kepada tenaga bersih serta mengurangkan pelepasan karbon.

    Penghantaran tersebut juga menyerlahkan kemajuan negara itu dalam teknologi pemprosesan tenaga bersih, menggunakan sumber minyak sayuran dan sisa daripada minyak masak terpakai.

    Kerajaan Indonesia kini sedang giat berusaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan menggalakkan tenaga bersih. Penggunaan minyak masak terpakai dalam bahan api penerbangan mencerminkan komitmen negara itu untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar sambil memberikan manfaat ekonomi. – Bernama

    Gambar ini menunjukkan logo Syarikat PT Pertamina di hadapan bangunan mereka di Indonesia pada 13 Ogos. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda