JAKARTA, 2 Mei (Bernama) — Indonesia secara rasmi memulakan operasi haji 2025 dengan penghantaran kumpulan pertama seramai 393 jemaah ke Arab Saudi awal pagi tadi, menurut Kementerian Hal Ehwal Agama republik itu.
Kumpulan pertama yang berlepas dari pusat pelepasan Jakarta-Pondok Gede itu bertolak dari Asrama Haji ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta untuk penerbangan ke Madinah, Arab Saudi pada jam 12.45 tengah malam.
Kumpulan itu yang terdiri daripada 171 lelaki dan 222 wanita, merupakan sebahagian daripada 7,514 jemaah yang dijadualkan berlepas secara berperingkat pada hari sama dari pelbagai pusat pelepasan di seluruh negara.
Majlis pelepasan telah diadakan di asrama berkenaan pada Khamis, dihadiri Menteri Hal Ehwal Agama, Nasaruddin Umar; Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin; Menteri Pengangkutan, Dudy Purwagandhi dan Timbalan Speaker Parlimen, Cucun Ahmad Syamsurijal.
Ketua Pengarah Pengurusan Haji dan Umrah, Hilman Latief mengingatkan para jemaah yang mula memasuki asrama pada Rabu agar menunaikan ibadah haji dengan penuh keikhlasan dan mengikut ajaran Islam.
Beliau turut memberi amaran bahawa Arab Saudi tahun ini menguatkuasakan peraturan kemasukan dengan ketat, membenarkan hanya jemaah yang memiliki visa haji yang sah untuk memasuki negara itu.
“Berhati-hati terhadap individu atau organisasi yang menawarkan perkhidmatan tidak sah. Ini boleh membawa kepada penipuan atau masalah perundangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tahun ini, seramai 221,000 jemaah haji akan berlepas dari semua pusat pelepasan di Indonesia, terdiri daripada 203,320 jemaah haji biasa dan 17,680 jemaah haji khas. – Bernama