Monday, September 16, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia hantar pulang bekas datuk bandar Filipina yang dikehendaki

    JAKARTA, 6 SEPT – Indonesia kelmarin telah menghantar pulang seorang bekas Datuk Bandar Filipina yang dituduh di Manila kerana membantu menubuhkan pusat permainan dan penipuan dalam talian haram serta mengelak daripada siasatan oleh Senat Filipina.

    Alice Guo, 34, akan meneruskan proses perundangannya di Manila, menurut kenyataan bertulis daripada Jabatan Imigresen, Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia.

    Polis Indonesia menahan Guo pada Selasa di pinggir Jakarta. Sebagai pertukaran, pihak berkuasa Indonesia berharap Filipina akan menghantar pulang Gregor Johann Haas, seorang warga Australia yang merupakan salah seorang suspek dadah paling dikehendaki di Indonesia, yang ditahan di tengah Filipina pada Mei.

    Guo dijadual menjalani pemeriksaan kesihatan di ibu pejabat polis sebelum diserahkan kepada Senat Filipina.

    Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr mengucapkan terima kasih kepada Indonesia pada Rabu atas penahanan Guo, yang dituduh di Filipina kerana membantu menubuhkan pusat permainan dan penipuan dalam talian haram yang kebanyakannya melayani pelanggan di China.

    Guo juga dituduh sebagai perisik China dan memalsukan kewarganegaraan Filipinanya, yang membolehkannya dipilih pada 2022 sebagai Datuk Bandar Bamban di wilayah Tarlac di utara Manila.

    Guo, yang menafikan melakukan kesalahan, telah dipecat daripada jawatannya kerana salah laku besar oleh Ombudsman, sebuah agensi Filipina yang menyiasat dan mendakwa pegawai kerajaan yang dituduh melakukan jenayah termasuk rasuah dan korupsi. – AP

    Guo ketika diiringi ke sidang akhbar di Manila, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda