JAKARTA, 18 MAC – Lebih 500 rakyat Indonesia yang diselamatkan dari pusat penipuan dalam talian di Myanmar akan dihantar pulang melalui Thailand dalam masa terdekat, kata seorang pegawai kanan Indonesia kepada AFP, hari ini.
Operasi penipuan siber berkembang pesat di kawasan sempadan Myanmar sehingga tidak terkawal selama beberapa tahun, menarik pekerja asing dengan janji pekerjaan bergaji tinggi, tetapi sebaliknya ditahan dan dipaksa melakukan penipuan dalam talian.
Kira-kira 7,000 pekerja dari sekurang-kurangnya 24 negara diselamatkan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, dengan majoriti berasal dari China.
Namun, ramai masih terperangkap di kem sementara yang daif di sempadan antara Myanmar dan Thailand.
Seramai 400 rakyat Indonesia akan dihantar pulang hari ini, sementara kira-kira 161 lagi dijadualkan kembali esok, kata Pengarah Perlindungan Warganegara di Kementerian Luar Indonesia, Judha Nugraha, kepada AFP.
Menurutnya, mereka akan kembali ke tanah air melalui tiga penerbangan dari Bangkok selepas menyeberangi sempadan dari Myanmar ke Thailand. – AFP
