JAKARTA, 9 JUN – Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia telah menggantung sementara operasi perlombongan nikel di Pulau Gag, Raja Ampat sementara menunggu pengesahan di lapangan, susulan kebimbangan orang ramai terhadap kedudukannya yang berhampiran dengan kawasan pemuliharaan marin.
“Kami menghentikan operasi buat sementara waktu untuk tujuan verifikasi lapangan. Kami akan menyiasat,” kata Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Bahlil Lahadalia pada Khamis di Jakarta.
Beberapa institusi lain, termasuk kementerian perhutanan dan hal ehwal maritim, turut menjalankan proses verifikasi bagi mengenal pasti sebarang kemungkinan pelanggaran di kawasan tersebut.
Wilayah kepulauan Raja Ampat di Papua Barat Daya, Tapak Geopark Global UNESCO, merupakan salah satu destinasi pelancongan utama negara iaitu bagi yang meminati aktiviti seperti menyelam dan snorkel.
Menurut laporan tahunan ANTAM 2023, Syarikat Gag Nikel yang mengendalikan lombong di pulau yang sama, telah dianggarkan memiliki lebih dari 42 juta tan metrik kering rizab bijih nikel.
Lombong itu juga mengandungi jumlah bijih limonit dan saprolit yang ketiga terbesar milik syarikat tersebut.
Syarikat itu turut memiliki lesen operasi yang meliputi keseluruhan Pulau Gag, yang merupakan hutan hujan tropika yang dilindungi.
Pemangku Presiden Pengarah Gag Nikel, Arya Arditya berkata, pihak syarikat ‘menghormati sepenuhnya’ keputusan kementerian untuk menghentikan sementara aktiviti perlombongan. – ANN/The Jakarta Post
