Thursday, January 30, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia, India tingkat hubungan maritim

    Oleh Shakir Husain

     

    NEW DELHI – Apabila Perdana Menteri India, Narendra Modi melawat Indonesia tidak berapa lama lagi, kemungkinan besar atur cara utama beliau ialah meninjau pelabuhan Sabang yang strategik terletak di Aceh.

    Menteri Koordinator Kemaritiman Indonesia, Luhut Binsar Panjaitan berada di New Delhi minggu lepas dan mengadakan perbincangan mengenai hubungan dua hala dan lawatan Modi.

    Luhut yang menyampaikan

    syarahan bertajuk Indonesia’s Maritime Policy and Thinking of Ways Forward for India-Indonesia as Maritime Neighbours, berkata negaranya mungkin memberi kebenaran kepada India untuk menggunakan pelabuhan Sabang.

    “India dan Indonesia mula menjalankan latihan tentera laut pada 2017, tetapi kita boleh meningkatkan latihan ini antara pengawal pantai kami. Keadaan ini akan menjadi lebih baik apabila India menggunakan kemudahan di pelabuhan laut Sabang.

    “Pelabuhan Sabang mempunyai kedalaman 40 meter yang amat baik untuk kapal selam,” Luhut dipetik sebagai berkata dalam laporan akhbar Times of India.

    Sewaktu lawatan presiden Indonesia ke India pada Disember 2016, Modi dan Widodo menyentuh perkara mengenai keselamatan di Lautan India dan Pasifik serta sekitarnya. – Agensi
    Menteri Indonesia dalam mesyuaratnya dengan Menteri Perkapalan India, Nitin Gadkari dilaporkan membincangkan mengenai pelabuhan berpotensi dan pelaburan infrastruktur. – Agensi

    Membuat perbincangan 

    Menteri Indonesia itu dalam mesyuaratnya dengan Menteri Perkapalan India, Nitin Gadkari dilaporkan berbincang mengenai pelabuhan berpotensi dan pelaburan infrastruktur.

    Memorandum persefahaman antara Universiti Maritim India dan institut kajian maritim Indonesia akan disediakan untuk kerjasama dalam bidang pendidikan serta latihan.

    Kedua-dua menteri itu juga membincang mengadakan ‘pelancongan pelayaran pesiaran’ antara pulau Andaman dan Nicobar dengan Indonesia.

    Jarak antara pulau Andaman serta Nicobar dengan Acheh hanyalah 150 kilometer.

    “Kedua-dua menteri membuat keputusan untuk menjalin kerjasama dalam bidang ini dengan mengatur pertukaran maklumat di samping mewujudkan hubungan antara pasukan teknikal kedua-dua belah pihak,” kata Kementerian Perkapalan India.

    Meningkatkan hubungan perkapalan dengan Indonesia dilihat sebagai langkah penting kepada doktrin dasar luar negara ‘Memandang ke Timur’ India.

    “Hubungan India-Indonesia adalah penting untuk imbangan kuasa di Asia,” Luhut dipetik sebagai berkata dalam media India.

    Di pihak Indonesia, membangunkan sektor maritim adalah antara keutamaan kerajaan Presiden Joko Widodo.

    India dan Indonesia mula menjalankan latihan tentera laut pada 2017. – Agensi

    Apabila mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2014, Widodo berkata: “Sudah begitu lama kita mengetepikan laut, selat dan teluk. Ini masanya untuk kita bertindak dan memulihkannya supaya kita boleh makmur seperti nenek moyang kita.”

    Sektor pelabuhan

    Menurut laporan Bank Pembangunan Asia mengenai sektor pengangkutan Indonesia pada 2016, negara itu memerlukan puluhan bilion dolar untuk memodenkan sektor pelabuhannya.

    “Indonesia mempunyai lebih daripada 100 pelabuhan komersial, kebanyakannya menampung keperluan kapal kecil untuk laluan domestik dan hanya beberapa buah sahaja mempunyai kemudahan kontena,” mengikut laporan itu.

    “Kekurangan pelabuhan besar yang mampu menerima kapal besar yang belayar merentas lautan menjadikan sistem tidak cekap.

    Pelabuhan Tanjung Priok Jakarta menanggung beban berat, mengendalikan kira-kira dua pertiga daripada jumlah import dan eksport Indonesia,” kata laporan itu lagi.

    Menurut laporan itu sebanyak AS$50 bilion diperlukan untuk memperbaiki serta meningkatkan kemudahan di lima pelabuhan utama Indonesia di samping 19 pelabuhan kecil.

    Bagaimanapun, kerjasama maritim India-Indonesia tidak terhad kepada pelaburan dalam perkapalan komersial, dan meliputi pelbagai isu.

    Sewaktu lawatan presiden Indonesia ke India pada Disember 2016, Modi dan Widodo menyentuh perkara mengenai keselamatan di ‘Lautan India dan Pasifik serta sekitarnya.’

    Lawatan Modi ke Indonesia sudah pasti akan mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda