Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Indonesia: Industri rumpai laut berpotensi besar sebagai pertumbuhan ekonomi

    JAKARTA, 1 MAC – Industri rumpai laut di Indonesia menawarkan banyak peluang, termasuk menghasilkan biostimulan, plastik terbiodegradasi dan biobahan api, selain prospek dalam pembangunan hiliran.

    Menteri Penyelaras Maritim dan Hal Ehwal Pelaburan Luhut B. Pandjaitan berkata rumpai laut boleh digunakan untuk menghasilkan biostimulan atau baja organik bagi menangani subsidi baja dan keterjaminan makanan di negara itu.

    “Ia juga boleh menghasilkan plastik terbiodegradasi untuk menangani isu sisa plastik, selain berfungsi sebagai pengganti makanan untuk gandum dalam mi, mengurangkan keperluan import gandum dan digunakan untuk membuat biobahan api bagi mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil,” katanya.

    Berucap pada program ‘Showcase Piloting Large-scale Seaweed Cultivation’  di Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, beliau berkata walaupun wilayah laut Indonesia luas, namun hanya 102,000 hektar atau 0.8 peratus daripada kawasan penanaman yang berpotensi digunakan untuk penternakan rumpai laut dengan pemprosesan hiliran yang terhad.

    Luhut menyatakan keyakinannya bahawa projek penanaman berskala besar seluas 100 hektar, dibantu secara mekanisasi dan teknologi itu, boleh memanfatkan potensi ekonomi yang besar, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pengeluaran rumpai laut.

    Beliau berkata menerusi pelaburan sehingga US$2.5 juta, projek itu dijangka menjana 150 pekerjaan langsung dan menghasilkan antara 10,000 dan 15,000 tan rumpai laut segar setiap tahun.

    “Ini bukan sekadar percubaan memandangkan kira-kira 100 hektar sudah beroperasi. Kami mahu teknologi ini berkembang pesat kerana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk sejuta orang, mengurangkan kemiskinan dan memberi impak positif kepada masyarakat pesisir pantai,” katanya. – Bernama

    Seorang petani mengutip rumpai laut di ladang rumpai laut di Nusa Penida, Indonesia. – Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...