Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia jalin kerjasama pertahanan dengan lima negara

    JAKARTA, 30 SEPT – Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia meluluskan lima rang undang-undang untuk mengesahkan perjanjian kerjasama pertahanan dengan Kemboja, India, Perancis, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Brazil, lapor agensi berita ANTARA.

    Speaker Suruhanjaya I DPR, Meutya Hafid berkata bahawa suruhanjaya dan kerajaan sebelum ini bersetuju untuk meneruskan proses perundangan rang undang-undang itu semasa mesyuarat kerja yang diadakan di Jakarta pada 25 September.

    Meutya menegaskan bahawa lima perjanjian ini mencerminkan diplomasi pertahanan yang berjaya oleh Indonesia, yang dijangka dapat mengelakkan potensi ancaman keselamatan dan meningkatkan industri pertahanan negara.

    “Kerjasama pertahanan ini terjalin dengan negara-negara sahabat seperti India, Perancis, UAE, Kemboja dan Brazil,” katanya.

    Beliau berharap pemeteraian perjanjian ini akan membawa kepada kerjasama perta-hanan yang adil dan saling menguntungkan serta menghormati kedaulatan negara masing-masing.

    Dalam mesyuarat dengan Suruhanjaya I DPR, Menteri Pertahanan dan Presiden terpilih, Prabowo Subianto juga menekankan kepentingan perjanjian ini memandangkan peranan penting dan teknologi yang dimiliki negara-negara terbabit.

    “Mengenai Kemboja, sebagai anggota ASEAN, menjadi kepentingan kita untuk melindungi dan memperkukuh rakan kita dalam ASEAN,” katanya.

    Beliau juga menekankan pentingnya kerjasama pertahanan dengan India, Perancis, UAE dan Brazil. – Bernama

    Gambar menunjukkan pemandangan umum dari bangunan parlimen di Jakarta pada 26 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda