JAKARTA, 29 NOV – Presiden Joko Widodo (Jokowi) berkata Indonesia akan memastikan pelaburan domestik dan asing yang telah dilaksanakan dan yang sedang serta bakal dijalankan adalah selamat dan terjamin.
“Sekali lagi, saya beri jaminan kerajaan akan memastikan kebolehpercayaan dan keselamatan pelaburan di Indonesia,” kata Jokowi dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata menteri kabinet yang berkaitan telah digesa untuk membuat tindakan susulan berhubung keputusan tersebut.
Hakim Mahkamah Perlembagaan minggu lepas bersetuju bahawa kaedah penggabungan atau undang-undang cipta kerja atau omnibus law adalah tidak jelas dan proses perbincangan akta itu tidak mengikut peraturan.
Mahkamah mengeluarkan perintah supaya kerajaan menyemak semula bahagian undang-undang itu dalam tempoh dua tahun.
Undang-undang itu diwujudkan tahun lepas bertujuan menarik pelabur asing. – Bernama