BOGOR, Indonesia, 15 Jan – Jepun dan Indonesia hari ini mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan politik semasa lawatan oleh Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe yang menggunakan lawatan ke empat negara Asia bagi memantapkan peranan kerajaannya dalam usahanya membalas sifat pendesak China di Laut China Selatan.
Selepas mesyuarat dengan Abe, Presiden Indonesia Joko Jokowi Widodo mengatakan peningkatan dalam pelaburan Jepun di Indonesia, ekonomi terbesar Asia Tenggara, ‘amat signifikan,’ lebih daripada berganda kepada $4.5 bilion dalam Januari-September tahun lalu.
Menurutnya, negara-negara itu sudah pun bersetuju bahawa menteri pertahanan dan luar mereka akan bertemu di Indonesia tahun ini di bawah satu forum baru yang dibentuk dalam 2015 untuk meningkatkan kerjasama maritime.
Jokowi mengatakan terdapat per-setujuan mengenai perkembangan pelabuhan air dalam dan lapangan minyak Masela di Indonesia, dan bagi perbincangan awal laluan kereta api Jakarta-Surabaya. Beliau bagaimanapun tidak memberikan perincian lanjut.
Lawatan Abe sebahagian besarnya bertujuan mengambil peranan kepimpinan dalam mempromosikan kerjasama serantau dalam usahanya mengekang Beijing pada masa-masa ketegangan yang semakin meningkat antara China dan AS serta ketidakpastian mengenai dasar dalam pentadbiran akan datang Donald Trump.
Dengan lawatan itu, Tokyo mahu menghantar mesej bahawa penghormatannya terhadap peraturan berasaskan sistem antarabangsa, bertentangan dengan sikap lebih agresif China di Laut China Selatan, di mana ia mempunyai tuntutan wilayah besar, menjadikan ia rakan terbaik bagi negara-negara Asia Tenggara. – AP