Saturday, April 19, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia, Jordan jalin kerjasama pertanian

    JAKARTA, 18 APRIL – Indonesia akan bekerjasama dengan Jordan bagi menjalankan percubaan penanaman gandum di negara itu dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap import komoditi berkenaan, kata seorang menteri kelmarin, lapor Xinhua.

    Menteri Pertanian Indonesia, Andi Amran Sulaiman berkata demikian selepas mengiringi Presiden Prabowo Subianto dalam lawatan ke Jordan dan beberapa negara lain. Pada Selasa, beliau menandatangani perjanjian kerjasama pertanian dengan rakan sejawatnya dari Jordan, Khaled Huneifat.

    “Kami baru pulang daripada lawatan bersama Presiden ke Jordan. Kami akan memperkukuh kerjasama dengan Jordan,” kata Amran pada sidang media di pejabatnya.

    Beliau berkata Indonesia akan bekerjasama dengan Jordan dalam pertukaran maklumat dan teknologi dalam sektor pertanian dan perladangan, serta pengurusan sumber air.

    Menurutnya, Jordan bersetuju membantu Indonesia dalam usaha menanam gandum memandangkan negara Timur Tengah itu mempunyai sistem pengairan yang baik dan mampu menghasilkan gandum dalam jumlah besar.

    “Kami telah menjemput pakar dari Jordan,” katanya. “Kami juga telah menilai kesesuaian iklim untuk pertanian di seluruh Indonesia dan kini sedang mengenal pasti benih unggul yang boleh ditanam di sini.”

    Amran menegaskan jika pelan itu berjaya, ia akan membantu mengurangkan import gandum dari luar negara.

    Indonesia sebelum ini berjaya menanam kurma dari Timur Tengah di wilayah-wilayah tropika negara itu. – Bernama

    Presiden Indonesia, Prabowo Subianto (tengah) memberikan reaksi semasa menghadiri acara ekonomi bertajuk Memperkukuh Ketahanan Ekonomi Indonesia di Tengah Gelombang Perang Tarif Perdagangan di Jakarta pada 8 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda