JAKARTA, 6 JUN — Indonesia akan mengkaji semula aktiviti perlombongan nikel di sebuah kawasan yang digelar sebagai ‘syurga terakhir dunia’ dan berkemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang, kata Menteri Alam Sekitar selepas video kumpulan alam sekitar, Greenpeace mencetuskan bantahan awam mengenai potensi kemusnahan alam sekitar.
Kepulauan timur Raja Ampat di wilayah Papua Barat Daya terletak dalam Segitiga Terumbu Karang merupakan sebuah kawasan yang dianggap sebagai antara kawasan terumbu yang paling terpelihara di dunia, dengan air biru jernih yang menjadikannya destinasi popular bagi penyelam.
Greenpeace Indonesia telah mencetuskan kemarahan warga tempatan minggu ini, selepas beberapa video mengenai projek perlombongan nikel di kawasan itu tular, termasuk satu klip yang telah meraih 13 juta tontonan di Instagram.
Indonesia memiliki rizab nikel terbesar di dunia dan merupakan pengeluar utama logam itu, yang menjadi bahan penting dalam pembuatan bateri kenderaan elektrik dan keluli tahan karat.
Namun, pencinta alam sekitar menyuarakan kebimbangan terhadap langkah tergesa-gesa Indonesia memanfaatkan bekalan dan memperluas pemprosesan nikel telah mengakibatkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan terhadap tanah di sekitar kawasan perlombongan dan loji peleburan.
Bantahan terhadap potensi kerosakan alam sekitar di kawasan itu mencetuskan reaksi segera daripada kerajaan, apabila Kementerian Tenaga telah menggantung sementara operasi sebuah lombong nikel di salah satu pulau di Raja Ampat bagi memberi laluan kepada siasatan lanjut.
Menteri Alam Sekitar, Hanif Faisol Nurofiq berkata, beliau akan melawat kawasan berkenaan dan berjanji untuk menghukum syarikat perlombongan yang terlibat.
Tindak balas kerajaan itu telah memberikan harapan terhadap kesedaran awam yang boleh membantu untuk melindungi kawasan Raja Ampat, kata Ketua Kempen Hutan Greenpeace Indonesia, Arie Rompas kepada AFP hari ini. – AFP


