MONTREAL, 26 SEPT – Kanada telah menandatangani perjanjian perdagangan bebas dua hala dengan Indonesia, dengan tujuan untuk menghapuskan atau mengurangkan tarif ke atas lebih 95 peratus eksport Ottawa ke pasaran terbesarnya di Asia Tenggara.
Beberapa pakar memberitahu AFP bahawa perjanjian strategik itu dicapai dalam konteks kegawatan ekonomi global, diburukkan lagi oleh dasar sekatan Amerika Syarikat.
“Ini adalah perjanjian yang betul pada masa yang tepat dengan rakan kongsi yang sesuai,” kata Perdana Menteri Kanada, Mark Carney sambil menambah Indonesia adalah pasaran eksport terbesar Kanada di Asia Tenggara.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyebutnya sebagai peristiwa bersejarah semasa lawatan ke Ottawa, kerana perjanjian itu adalah yang pertama seumpamanya dengan negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).
“Saya sangat bertuah kerana menjadi presiden Indonesia yang membawa perjanjian ini kembali ke Indonesia,” kata Prabowo pada Rabu lalu.

Eksport Kanada termasuk gandum, baja, kayu dan kacang soya.
Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) membolehkan Kanada mengukuhkan kehadirannya di rantau Pasifik, selaras dengan strategi yang didedahkan oleh pentadbiran terdahulu di bawah Justin Trudeau.
Perjanjian itu juga memperuntukkan penghapusan lebih daripada 90 peratus tarif ke atas import Indonesia, memberikan keuntungan kepada eksport pakaian dan barangan kulit ke pasaran Amerika Utara.
Pada masa yang sama, perjanjian kerjasama pertahanan ditandatangani bertujuan memperkukuh kolaborasi dalam latihan ketenteraan, keselamatan maritim, pertahanan siber dan perdamaian.
Penandatanganan itu dibuat hanya beberapa hari selepas Jakarta dan Kesatuan Eropah memuktamadkan perjanjian perdagangan selepas rundingan hampir 10 tahun. – AFP

