JAKARTA, 8 JAN – Indonesia hari ini mengekalkan pengharaman penjualan iPhone 16 walaupun Apple berjanji untuk melabur AS$1 bilion di negara itu selepas kebuntuan rundingan.
Indonesia Oktober lalu melarang pemasaran dan penjualan model iPhone 16 kerana kegagalan Apple memenuhi peraturan pelaburan tempatan yang memerlukan 40 peratus telefon dibuat dari bahagian tempatan ketika negara itu berusaha untuk meningkatkan pelaburan daripada syarikat-syarikat teknologi gergasi.
Menteri Pelaburan Indonesia, Rosan Roeslani, berkata kepada pemberita kelmarin, Apple komited sepenuhnya untuk melabur AS$1 bilion untuk membina kilang AirTag di pulau Batam, yang dijangka membekalkan 65 peratus daripada bekalan global.
Bagaimanapun, adalah tidak jelas sama ada perjanjian mengenai kilang di zon perindustrian itu telah ditandatangani atau sebaliknya.
“AirTag ialah aksesori, bukan komponen atau sebahagian daripada gajet,” Menteri Perindustrian Indonesia, Agus Gumiwang Kartasasmita, berkata kepada sidang mediahari ini.
“Sehingga petang ini, kementerian tidak mempunyai sebarang sebab untuk mengeluarkan sijil peringkat komponen domestik bagi produk Apple khususnya iPhone 16,” katanya.
Agus telah bertemu dengan wakil Apple, kelmarin, tetapi dia berkata belum ada perjanjian dicapai.
Beliau berkata, pegawai Indonesia memberi maklum balas kepada Apple, akan tetapi pembuat telefon gergasi itu tidak memberikan jawapan segera.
Apple sebelum ini menawarkan untuk meningkatkan pelaburannya di Indonesia sebanyak AS$100 juta untuk menarik balik larangan jualan iPhone 16, tetapi kerajaan Indonesia menolak cadangan itu pada November. – AFP