Saturday, December 21, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia kekang kumpulan radikal

    JAKARTA, 5 Feb – Indonesia mengorak langkah untuk mengawal kumpulan Islam berpendirian keras yang menerajui bantahan-bantahan ke atas gabenor Jakarta yang beragama Islam, namun pakar-pakar memberi amaran usaha akan sukar untuk menundukkan rangkaian yang mempunyai hubungan rapat dengan pertubuhan itu.

    Kumpulan Pembela Islam (FPI) beberapa tahun kebelakangan ini menjadi wajah Islam berpendirian keras di negara yang mempunyai ramai penduduk beragama Islam, yang semakin berpengaruh meskipun menjadi pertubuhan pinggiran yang pandangan melampau mereka ditolak oleh kebanyakan pihak.

    Kumpulan itu telah menyerang bar-bar yang menjual alkohol ketika bulan Ramadan, memaksa pembatalan konsert Lady Gaga yang mereka gelar ‘utusan syaitan’, dengan bantahan bising mereka dan mengetuai tunjuk perasaan membantah pertandingan ratu cantik Miss World apabila ia datang ke Indonesia.

    Diketuai oleh Rizieq Shihab, FPI telah membantu mengadakan perhimpunan besar baru-baru ini yang menarik perhatian orang Islam konservatif dan bersederhana yang membantah gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama, seorang etnik Cina beragama Kristian yang sedang dibicarakan kerana disyaki menghina Islam.

    Penduduk Indonesia mengadakan demonstrasi bagi menyokong ulama Islam di Tugu Negara di Jakarta kelmarin - AFP
    Penduduk Indonesia mengadakan demonstrasi bagi menyokong ulama Islam di Tugu Negara di Jakarta kelmarin – AFP

    Gerakan bantahan menentang Purnama yang dituduh menghina Al-Quran ketika berkempen bagi pemilihan semula dalam pengundian yang akan diadakan akhir bulan ini, telah menggerakkan kumpulan berpendirian keras dari menjadi kumpuan pinggiran kepada tumpuan politik kebangsaan, yang mencemaskan para pemerhati dan beberapa pihak dalam kerajaan.

    Kini pihak berkuasa berusaha mengawal semula ke atas pihak radikal, dengan pihak polis meningkatkan penyiasatan ke atas Shihab dalam langkah yang dilihat sebagai disokong Presiden Joko Widodo dan pentadbirannya.

    “Ini adalah langkah yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, itu adalah kali pertama presiden dan kerajaan secara terbuka mencabar kumpulan Islam itu,” Tobias Basuki, seorang analisis dari kumpulan pemikir Jakarta, Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), memberitahu AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda