JAKARTA, 1 JULAI – Indonesia kembali mengetatkan lagi protokol kesihatan COVID-19 bermula 3 hingga 20 Julai berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di republik itu, dengan jumlah kes mencecah lebih 2.1 juta selain kes baharu harian melebihi 20,000.
Presiden Joko Widodo dalam siaran langsung menerusi laman YouTube Sekretariat Presiden hari ini mengumumkan pemerintah akan menerapkan Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) di Pulau Jawa dan Bali.
Kes baharu COVID-19 di Indonesia meningkat mendadak sejak dua minggu lepas berikutan kegiatan balik kampung semasa sambutan Aidilfitri lepas selain kehadiran varian Delta yang lebih cepat menular.
“Situasi telah memaksa kita mengambil langkah lebih tegas, maka saya memutuskan melaksanakan sekatan kecemasan,” kata Widodo.
Sejak 24 Jun lepas, kes positif harian meningkat melepasi angka 20,000 kes, sedangkan sebelum sambutan Aidilfitri kes harian pernah dicatatkan di bawah angka 4,000 kes. Pelaksanaan PPKM Darurat itu melibatkan 48 kabupaten dan kota dengan menyasarkan kes baharu turun di bawah 10,000 kes.
Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat-pusat membeli belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor non essential, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restoran, kedai makan atau warung (dine in) dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan rekreasi ditutup.
Namun pengangkutan awam dan perjalanan domestik masih lagi dibenarkan bagi orang ramai yang sudah pun mendapat suntikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan majlis perkahwinan masih boleh dilangsungkan dengan tetamu undangan dihadkan.
“Ia lebih baik daripada tiada,” kata seorang ahli epidemiologi Indonesia, Windhu Purnomo. “Namun ia belum lagi cukup ketat kerana masih membenarkan orang ramai bergerak. Ia langkah separuh jalan, jadi saya tidak terlalu mengharapkan keberkesanan yang tinggi,” tambahnya. – Bernama/AFP
