JAKARTA, 1 JAN – Indonesia mula mengenakan cukai nilai tambah (VAT) sebanyak 12 peratus ke atas barangan dan perkhidmatan mewah hari ini, kenaikan sebanyak satu peratus. Langkah itu telah meyakinkan orang ramai, yang sebelum ini bimbang kenaikan itu turut melibatkan barang keperluan asas.
Barangan yang dikenakan VAT 12 peratus termasuk jet peribadi, kapal persiaran, kapal layar, rumah mewah dan barangan lain yang diklasifikasikan sebagai barangan mewah.
“Bagi barangan dan perkhidmatan untuk kegunaan umum, VAT kekal dikecualikan atau dikenakan pada kadar sifar peratus.
“Ini termasuk keperluan asas seperti beras, daging, ikan, telur, sayur-sayuran, susu segar, perkhidmatan pendidikan, perkhidmatan kesihatan, pengangkutan awam, perumahan tidak mewah dan air minuman,” kata Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dalam sidang media maya di Jakarta, semalam.
Prabowo menyatakan kerajaan Indonesia akan menyediakan pakej insentif ekonomi untuk memastikan kenaikan VAT tidak memberi kesan besar terhadap kuasa beli rakyat.
Dengan menaikkan VAT, Indonesia berhasrat merangsang ekonomi, khususnya dalam sektor pembuatan, perdagangan, industri digital dan sektor informal lain. – Xinhua