Khamis, November 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia kesan radiasi di ladang cengkih, siasatan diperluas

    JAKARTA, 14 OKT – Pihak berkuasa Indonesia menemui kesan radioaktiviti di sebuah ladang cengkih di pulau Sumatera, kata seorang jurucakap kerajaan hari ini, ketika Jakarta memperluas siasatan yang dilancarkan selepas pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat mengesan pencemaran Caesium-137 pada rempah dari Indonesia.

    Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA) baru-baru ini memaklumkan, pihaknya mengesan kehadiran Caesium-137 dalam sampel cengkih daripada syarikat PT Natural Java Spice ketika pemeriksaan dijalankan, selepas isotop radioaktif itu turut dikesan pada bulan Ogos dalam sampel udang beku dari Indonesia.

    Kerajaan Indonesia kemudian melancarkan siasatan, dengan menghantar pasukan pemeriksa ke sebuah kemudahan pemprosesan dan sebuah ladang di pulau Jawa serta satu lagi ladang di Sumatera, kata jurucakap pasukan petugas, Bara Hasibuan kepada AFP hari ini.

    Beliau berkata, pasukan itu hanya menemui kesan radioaktiviti di ladang cengkih di Lampung, Sumatera, tanpa mendedahkan butiran lanjut dan kerajaan telah melarang ladang tersebut daripada menjual hasil cengkihnya sebagai langkah pencegahan.

    “Sehingga penemuan muktamad diperoleh, kami meminta agar cengkih dari ladang itu tidak dijual,” kata Bara, sambil menambah Agensi Tenaga Nuklear Indonesia (Bapeten) sedang menguji sampel dari ladang berkenaan.

    “Kita perlu menentukan sumbernya bagaimana cengkih di situ boleh tercemar,” ujarnya.

    Penemuan itu dibuat selepas pihak berkuasa mengesan kesan Caesium-137 di sekurang-kurangnya 22 kemudahan di kawasan perindustrian Cikande, kira-kira 60 kilometer di barat Jakarta.

    Kerajaan telah memperketat sekatan di kawasan tersebut dan menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan bagi mengesan kemungkinan pencemaran.

    Selain itu, pihak kerajaan juga telah menggantung import besi buruk dan keluli yang dilaporkan sebagai punca pencemaran sehingga sistem pemantauan bahan radioaktif “diperkukuh sepenuhnya”, kata Menteri Alam Sekitar, Hanif Faisol Nurofiq dalam satu hantaran di Instagram. – AFP

    Pegawai menghadiri majlis penubuhan pasukan petugas bagi menangani bahaya radiasi Caesium-137 di balai polis Cikande, wilayah Banten pada 13 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda