JAKARTA, 16 OKT – Tugas Patrick Kluivert sebagai jurulatih Indonesia telah tamat selepas mereka ‘sama-sama’ bersetuju untuk berpisah hari ini susulan gagal untuk mara ke Piala Dunia.
Harapan Indonesia untuk layak ke kejohanan di Amerika Utara tahun depan berakhir dengan kekalahan kepada Iraq dan Arab Saudi pada minggu lalu.
Pemain hebat dari Belanda dan Barcelona berusia 49 tahun itu yang dilantik pada Januari hanya mengendalikan lapan perlawanan Indonesia.
“Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) dan pasukan kejurulatihan pasukan kebangsaan Indonesia secara rasmi setuju untuk tamatkan kerjasama awal melalui persetujuan bersama,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan. “Langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada penilaian menyeluruh program kejurulatihan dan pembangunan bola sepak negara.”
Kenyataan itu juga tidak menamakan pengganti Kluivert.
Bekas penyerang itu menandatangani kontrak dua tahun pada Januari, ditugaskan membawa Indonesia ke Piala Dunia pertama mereka sejak mencapai kemerdekaan pada 1945.
Warga Belanda itu mengambil alih jawatan berikutan pemecatan kontroversi ke atas warga Korea Selatan Shin Tae-yong. Tetapi dia hanya memenangi tiga perlawanan, kalah empat dan seri satu semasa perkhidmatannya.
Kluivert kelahiran Amsterdam telah bersara sebagai pemain pada 2008 selepas kerjaya cemerlangnya yang bermula di Ajax, apabila dia memenangi Liga Juara-Juara, sebelum berpindah ke AC Milan dan Barcelona.
Kerjaya pengurusan Kluivert juga tidaklah begitu hebat. Peranan jurulatihnya sebelum ini adalah bersama pasukan Adana Demirspor di Turki selama lima bulan pada 2023.
Sebelum itu beliau adalah pengurus sementara Curacao pada 2021.
Dia juga pernah menjadi jurulatih kedua kepada Louis van Gaal bersama pasukan kebangsaan Belanda pada 2012-2014. – AFP


