JAKARTA, 19 DIS – Indonesia akan terus bekerjasama rapat dengan Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, negara anggota ASEAN yang lain dan Troika ASEAN untuk memastikan bahawa inisiatif di rantau ini pada 2025 akan memberi manfaat kepada semua anggota ASEAN.
Jurucakap Kementerian Luar, Rolliansyah Soemirat menegaskan bahawa Indonesia komited untuk memastikan pelaksanaan yang berkesan terhadap inisiatif yang akan dipersetujui pada Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM Retreat).
“AMM Retreat, yang dijadualkan berlangsung di Malaysia pada pertengahan Januari 2025, akan berfungsi sebagai platform, peluang dan forum untuk Pengerusi ASEAN dalam hal ini Malaysia, mengemukakan dan membentuk keutamaan serta pelan kerja bagi tahun akan datang,” katanya.
Dalam taklimat media baru-baru ini, beliau menekankan pentingnya mengekalkan kesinambungan, sinergi dan penyelarasan yang betul antara rangka kerja dan aktiviti sedia ada, dengan membina atas kerja yang telah dilakukan semasa pengurusan Indonesia pada 2023.
“Kami berhasrat untuk mewujudkan kesinambungan kaedah kerja dan kerjasama ASEAN yang lancar, memastikan ASEAN kekal bersatu dan cekap dalam menangani cabaran di rantau ini,” tambahnya. – Bernama