Wednesday, December 25, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia kurangkan pengeluaran loji jana kuasa batu arang

    JAKARTA, 6 SEPT – Indonesia mengurangkan hampir separuh pengeluaran di loji jana kuasa arang batu utama dekat ibu negara selepas bandar raya itu berdepan peningkatan pencemaran besar dalam beberapa minggu ini, kata pengendali kepada AFP hari ini.

    Pengurangan itu dibuat seminggu sebelum Indonesia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN dengan pegawai tertinggi dari Amerika Syarikat (AS), Jepun, China dan Korea Selatan turut hadir pada persidangan itu dalam usaha menangani beberapa isu serantau.

    Bandar besar yang menempatkan kira-kira 30 juta penduduk itu mendahului kedudukan pencemaran global untuk tempoh beberapa kali bulan lalu, menurut pemantau kualiti udara, IQAir yang berpangkalan di Switzerland, dengan krisis asbut toksik menyuramkan mesyuarat itu.

    “Sejak 29 Ogos, Tenaga Indonesia PLN IP telah menurunkan pengeluaran loji jana kuasa arang batu Suralaya sebanyak 1,600 megawatt untuk menyumbang dalam meningkatkan kualiti udara Jakarta,” kata pengurus besar pengendali loji itu, Irwan Edi Syahputra Lubis.

    Beliau berkata loji di hujung barat Pulau Jawa yang dihuni paling ramai penduduk di Indonesia, sekitar 100km dari pusat bandar, Jakarta, kini akan beroperasi untuk menjana 1,800 megawatt.

    Pegawai itu bagaimanapun tidak memberi perincian berapa lama pemotongan kuasa akan dikekalkan atau jika langkah itu akan diteruskan, mengatakan firma itu akan mengikut arahan daripada kerajaan Indonesia.

    Indonesia sebelum ini berikrar untuk menghentikan pembinaan loji jana kuasa arang batu baharu mulai 2023 dan menjadi negara neutral karbon 2050.

    Meskipun mendapat bantahan daripada aktivis alam sekitar, loji arang batu Suralaya di pulau Jawa masih diperluaskan untuk menempatkan 10 unit di dalam kompleks loji itu. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda