JAKARTA, 15 FEB – Indonesia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel mengesahkan sembilan penempatan Yahudi di Tebing Barat baru-baru ini kerana melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Negara dengan populasi umat Islam terbesar di dunia itu menyertai tindakan Kesatuan Eropah (EU) mengecam rancangan Israel untuk membina 10,000 penempatan baharu di kawasan itu. Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan bahawa tindakan Israel akan mencetuskan ketegangan dan ketidakstabilan di rantau itu.
“Masyarakat antarabangsa perlu bersatu menggesa Israel menghentikan tindakan ini dan terus mendesak kepada penyelesaian dua negara,” menurut kenyataan itu. – Bernama
