SUMENEP, INDONESIA, 26 OGOS – Ratusan kanak-kanak di Indonesia beratur mendapatkan suntikan percuma vaksin campak kelmarin ketika pihak berkuasa melancarkan kempen imunisasi sebagai respons terhadap wabak penyakit yang telah meragut 17 nyawa.
Lebih 2,000 kanak-kanak dijangkiti di wilayah Jawa Timur sepanjang lapan bulan lalu, dengan 16 daripada kematian direkodkan di daerah Sumenep. Data Agensi Kesihatan Daerah Sumenep menunjukkan 16 pesakit tidak pernah menerima vaksin, manakala seorang lagi tidak melengkapkan dos imunisasi.
Indonesia sebelum ini beberapa kali dilanda wabak campak akibat jurang liputan imunisasi di negara itu.
Pada 2018, wabak besar di Papua menyebabkan puluhan maut, di tengah isu kontroversi vaksin campak-rubela yang dilaporkan mengandungi unsur babi.
Majlis Ulama Indonesia ketika itu membenarkan penggunaan vaksin Institut Serum India sehingga vaksin halal ditemui.
Menurut data Statistik Indonesia, hanya 72 peratus daripada 22 juta kanak-kanak bawah lima tahun menerima vaksin campak tahun lalu, malah di beberapa wilayah kadar vaksin berada di bawah 50 peratus.
Pihak berkuasa kini menyeru penduduk, termasuk pemimpin masyarakat untuk menyokong usaha imunisasi besar-besaran yang menyasarkan 78,000 kanak-kanak berusia sembilan bulan hingga enam tahun di Sumenep. – AFP


