Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia lancar kemudahan katod LFP

    JAKARTA, 9 OKT – Fasa pertama kemudahan katod fosfat besi litium (LFP) Indonesia dengan pelaburan bersama berjumlah AS$200 juta oleh PT LBM Energi Baru Indonesia telah dilancarkan untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat bagi bateri LFP, terutamanya dalam sektor kenderaan elektrik (EV).

    Kemudahan itu yang dirasmikan oleh Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan, terletak di Taman Perindustrian Kendal, Jawa Tengah.

    Projek ini adalah sebahagian daripada kerjasama pelaburan strategik dengan dana kekayaan berdaulat republik itu, Lembaga Pelaburan Indonesia dan syarikat China, Changzhou Liyuan New Energy Technology Co., Ltd., pembekal utama LFP global.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Luhut berkata, “Indonesia tidak boleh lagi sekadar menjadi pengeksport bahan mentah. Kita mesti mewujudkan nilai tambah dalam negara, membina industri hiliran yang kukuh, dan meletakkan diri kita sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global.”

    Kapasiti pengeluaran kemudahan itu dijangka meningkat daripada 30,000 tan kepada 90,000 tan menjelang 2025, menjadikan LFP sebagai komponen penting dan kos efektif untuk EV dan sistem penyimpanan tenaga.

    LFP adalah salah satu komponen utama dalam bateri ion litium, selain daripada nikel kobalt mangan.

    Projek ini dijangka mewujudkan lebih daripada 2,000 pekerjaan dan dijangka memenuhi pasaran bateri global yang dianggarkan bernilai sekitar AS$10 bilion menjelang 2030.

    “Ini bukan sekadar kilang, ia juga merupakan asas kepada ekosistem EV bersepadu di Indonesia.” – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda