Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia lancar perisian intipan

    JAKARTA, 3 MEI – Indonesia melancarkan alat perisian intipan yang didakwa dibeli daripada broker dan vendor Israel, Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai privasi dan kebebasan bersuara dalam negara majoriti penduduk Islam itu, kata Amnesty International (Amnesty) semalam.

    Sekatan dalam talian bagi ekonomi terbesar Asia Tenggara itu menerima kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia yang mendakwa undang-undang digunakan untuk menyasarkan pengkritik dan mengehadkan kebebasan bersuara di media sosial.

    Jakarta menggunakan pelbagai alat pengawasan dan perisian intipan terhadap penentang, media dan aktivis antara 2017 dan 2023, kata Amnesty dalam siasatan bersama dengan saluran berita Asia, Israel dan Barat.

    Alat itu dibeli daripada rangkaian broker, penjual semula dan vendor di Luxembourg, Israel, Malaysia dan Singapura serta digunakan oleh syarikat dan agensi negara, termasuk Polis Negara dan Agensi Siber dan Kripto Kebangsaan (BSSN), menurut Amnesty.

    Siasatan juga mengenal pasti alamat dalam Internet (domain) yang didakwa digunakan untuk menyasarkan individu di Indonesia.

    “Penjualan tidak sah dalam alat perisian intipan ke Indonesia menambah satu lagi alat berbahaya yang berpotensi untuk membuat ugutan. Ia tidak boleh dibiarkan berterusan,” kata Carolina Rocha da Silva dari Makmal Keselamatan Amnesty dalam satu kenyataan.
    Kementerian Komunikasi dan Penerangan, Polis Negara dan BSSN tidak menjawab persoalan yang dikemukakan.

    Antara syarikat yang dinamakan dalam siasatan itu ialah Q Cyber Technologies SARL yang berpangkalan di Luxembourg, yang dikaitkan dengan firma Israel, NSO Group di mana perisian intipan Pegasus digunakan bagi menyasarkan wartawan berprofil tinggi dan pegawai kerajaan.

    Siasatan berkata syarikat itu mempunyai struktur pemilikan yang kompleks dan boleh mengaburkan eksport mereka sehingga menyukarkan pengawasan apabila produk menuju ke Indonesia secara langsung mahupun tidak langsung. – AFP

    Logo menghiasi dinding di cawangan syarikat teknologi Israel NSO Group, berhampiran bandar Sapir di selatan Israel, pada 24 Ogos 2021. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda