JAKARTA, 10 FEB – Beribu-ribu rakyat Indonesia telah menerima pemeriksaan kesihatan percuma (PKG) hari ini ketika kerajaan itu melancarkan program saringan tahunan, sebagai usaha untuk meningkatkan penjagaan pencegahan dan menegakkan janji pilihan raya Presiden Prabowo Subianto.
Rakyat Indonesia dari semua peringkat umur kini layak menerima pemeriksaan tahunan bertujuan untuk pengesanan awal penyakit kardiovaskular, gangguan kongenital pada kanak-kanak dan penyakit lain, kata pegawai kesihatan.
Program itu adalah antara beberapa janji kebajikan sosial daripada kempen pilihan raya Prabowo tahun lalu, termasuk program makan percuma yang dilancarkan bulan lepas untuk memerangi pertumbuhan terbantut akibat kekurangan zat makanan.
Di bawah program kesihatan baharu itu, kanak-kanak kecil dan dewasa layak menerima baucar, pada hari lahir mereka atau dalam tempoh 30 hari, untuk pemeriksaan percuma di pusat kesihatan komuniti. Pelajar berumur tujuh hingga 17 tahun boleh mendapatkan pemeriksaan di sekolah mereka mulai bulan Julai.
“Ini adalah hadiah hari jadi dari negara ini kepada semua rakyat dan ia bermula hari ini,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Widyawati, kepada AFP hari ini.
“Seperti yang diamanatkan oleh perlembagaan, setiap rakyat berhak mendapat perkhidmatan kesihatan,” tambahnya.
Program itu menyasarkan untuk memberi perkhidmatan kepada 60 juta rakyat Indonesia tahun ini, dan meliputi 280 juta anggaran penduduk negara itu menjelang 2030, menurut kementerian kesihatan.
Kerajaan akan memperuntukkan 4.7 trilion rupiah (AS$288 juta) untuk membiayainya, kata istana presiden. – AFP
