JAKARTA, 18 MEI – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto telah merasmikan dua projek minyak dan gas luar pesisir pada Jumaat, mengalu-alukannya sebagai satu pencapaian penting dalam usaha mencapai kemandirian tenaga negara.
Prabowo turut berikrar untuk meningkatkan lagi keselamatan tenaga bagi ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu, di samping berjanji untuk menamatkan penggunaan tenaga arang batu dan mencapai pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050.
“Mencapai tenaga nasional yang mampu diri adalah penting untuk kebebasan negara kita,” katanya.
Tambahnya, “Jika kita berjaya mencapai kebebasan tenaga, kita akan dapat menjimatkan berpuluh bilion dolar Amerika Syarikat.”
Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Bahlil Lahadalia, projek bernilai AS$600 juta yang dikendalikan oleh syarikat Indonesia, Medco E&P Natuna, di Laut Natuna Selatan itu menyasarkan pengeluaran sebanyak 20,000 tong minyak sehari.
Pada Sidang Kemuncak G20 tahun lalu, Prabowo telah berjanji untuk menutup ratusan loji janakuasa arang batu dan bahan api fosil menjelang 2040 di negara kepulauan itu, yang merupakan antara pengeluar dan pengguna arang batu terbesar dunia.
Kerajaan juga menyatakan hasrat untuk membina kapasiti tenaga boleh diperbaharui lebih 75 gigawatt menjelang tahun 2040.
Institut untuk Reformasi Perkhidmatan Asas (IESR), yang merupakan sebuah badan pemikir tenaga yang berpangkalan di Jakarta, telah menganggarkan Indonesia memerlukan AS$27 bilion menjelang 2040 untuk menutup loji janakuasa arang batu dengan jumlah kapasiti 45 gigawatt. – AFP
