Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia lancar sistem amaran awal kebangsaan

    JAKARTA, 2 OKT – Indonesia telah melancarkan Sistem Amaran Awal Kebangsaan untuk Bencana (SNPDK) yang merangkumi sistem TV Digital Sistem Amaran Awal (EWS) dan Sistem Maklumat Pencegahan Bencana (DPIS) bagi meningkatkan kesiapsiagaan bencana republik itu.

    SNPDK mengintegrasikan sistem maklumat bencana daripada pelbagai kementerian, agensi dan pihak berkuasa wilayah, serta penyedia utama seperti Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik, Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan dan Badan Nasional Pengurusan Bencana.

    Sistem TV Digital EWS bekerjasama dengan penyedia telekomunikasi dan penyiaran untuk menghantar makluman SMS masa nyata kepada komuniti yang terjejas tanpa sebarang kos, meningkatkan penyebaran maklumat penting.

    Disokong oleh geran daripada Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), DPIS menghubungkan pegawai dari pelbagai kementerian dan agensi dengan penyiar untuk memastikan komunikasi bencana yang diselaraskan. Ia berfungsi bersama Pusat Panggilan 112, Televisyen Republik Indonesia (TVRI) dan Radio Republik Indonesia (RRI).

    Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia, Budi Arie Setiadi berkata sistem TV Digital EWS dan DPIS akan memudahkan penyelarasan untuk bantuan tepat pada masanya dan meminimumkan kesan kepada masyarakat dan alam sekitar.

    “Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh kesiapsiagaan bencana negara memandangkan cabaran geografinya yang pelbagai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Budi Arie berkata Indonesia telah bekerjasama dengan Jepun untuk menyediakan perkhidmatan maklumat bencana masa nyata bagi petugas lapangan, boleh diakses melalui platform komputer dan mudah alih. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda