JAKARTA, 24 DIS – Dengan keperluan global terhadap jururawat yang dianggarkan mencecah 6.4 juta, Indonesia berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang ini, lapor agensi berita Antara.
Kementerian Kesihatan Indonesia bersama Kementerian Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (P2MI) kini sedang merangka langkah untuk mempermudah dari segi peraturan bagi menghantar lebih ramai petugas kesihatan ke luar negara.
Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin berkata kelmarin penghantaran petugas kesihatan ke luar negara bukan sahaja membantu memenuhi keperluan global tetapi juga meningkatkan kualiti hidup pekerja terbabit.
“Sebagai contoh, pekerja kesihatan Indonesia di Jepun boleh memperoleh pendapatan sekitar Rp30 juta (AS$1,788) sebulan, manakala di Jerman, pendapatan mereka boleh mencecah Rp50 juta (AS$2,981),” katanya.
Namun, beliau berkata bahawa jumlah petugas kesihatan yang dihantar masih rendah, iaitu kurang daripada 10,000 orang.
Dalam tempoh lima tahun lalu, hanya 2,000 orang dihantar ke luar negara, atau purata 400 orang setahun.
“Saya berharap jumlah ini dapat ditingkatkan kepada 2,000 orang setahun, dan seterusnya mencapai 5,000 hingga 10,000 orang,” katanya.
Sementara itu, Menteri P2MI Abdul Kadir Karding berkata bahawa kedua-dua kementerian sedang berusaha memastikan pematuhan kepada piawaian global bagi penempatan pekerja migran, termasuk prosedur pemeriksaan kesihatan.
“Kami cuba menyederhanakan prosedur seperti negara lain. Jika negara lain hanya memerlukan ujian kolesterol dan asid urik, kita tidak perlu menambah ujian lain yang tidak diperlukan,” katanya.
Beliau juga sedang berusaha menyelaraskan kos pemeriksaan kesihatan antara wilayah sambil mencari model pembiayaan yang tidak membebankan calon pekerja migran.
Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada penyediaan tenaga kerja menerusi politeknik kesihatan. Beliau berharap setiap politeknik dapat melatih tenaga kerja khusus untuk keperluan negara tertentu, seperti Jerman dan Jepun. – Bernama