Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Indonesia luluskan rang undang-undang keganasan seksual

    JAKARTA, 12 APRIL – Parlimen Indonesia telah meluluskan rang undang-undang keganasan seksual yang telah lama dinanti-nantikan, satu keputusan penting yang meningkatkan harapan keadilan bagi mangsa-mangsa selepas negara itu merekodkan peningkatan laporan keskes semasa pandemik koronavirus.

    Aktivis hak asasi wanita Indonesia telah lama mengecam kekurangan jalan bagi mangsa keganasan seksual dan berdasarkan gender untuk mendapatkan keadilan di sebuah negara di mana pencabulan biasanya dianggap sebagai perkara peribadi dan mangsa-mangsa tidak digalakkan membuat laporan.

    Sorakan dan tepukan didengar daripada aktivis-aktivis hak asasi wanita selepas speaker parlimen, Puan Maharani mengumumkan bahawa majoriti penggubal undang-undang telah menyokong rang undang-undang itu pada satu sesi pleno.

    “Undang-undang ini adalah manifestasi sebenar usaha-usaha negara untuk mencegah sebarang keganasan seksual dan untuk menjaga, melindungi dan memulihkan mangsa-mangsa serta untuk menegakkan keadilan,” Bintang Puspayoga, menteri pemerkasaan wanita dan perlindungan kanak-kanak, memberitahu sesi pleno berkenaan.

    Rang undang-undang berkenaan, yang bermatlamat untuk menangani jenayah-jenayah seks dan menyediakan rangka kerja perundangan bagi mangsa-mangsa termasuk dalam kes-kes rogol perkahwinan, dicadangkan sedekad lalu dan didrafkan pada 2016 tetapi berdepan penangguhan-penangguhan.

    Kumpulan-kumpulan Islam berkata ia mempromosi perzinaan dan penggubal undang-undang konservatif menggesa bagi menjenayahkan seks luar nikah dan perhubungan LGBT di negara majoriti Muslim terbesar di dunia itu.

    Undang-undang itu memfokuskan terhadap pengendalian keganasan seksual daripada pencegahan kepada pemulihan mangsa, mengarahkan pampasan bagi mangsa-mangsa dan membenarkan persatuan-persatuan berasaskan masyarakat untuk menyediakan kaunseling.

    Pencabulan seksual fizikal di dalam dan luar perkahwinan kini membawa hukuman maksimum 12 tahun penjara dan perkahwinan paksa, termasuk kes-kes yang melibatkan kanak-kanak, membawa hukuman penjara maksimum sembilan tahun penjara. – AFP

    Gambar fail bertarikh 23 Disember 2021 menunjukkan seorang wanita di bawah bendera Indonesia memegang pelekat semasa tunjuk perasaan menentang pencabulan seksual di depan majlis perwakilan rakyat (DPR) di Banda Aceh. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...