Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Indonesia mahu pelaburan China untuk peralihan tenaga

    JAKARTA, 19 OKT – Semasa pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping di Beijing, Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo meminta sokongan dalam membangunkan tenaga boleh diperbaharui di Indonesia.

    Dalam perbincangan Selasa lalu, yang berlaku di tengah-tengah Forum Belt and Road Ketiga (BRF) untuk Kerjasama Antarabangsa, Jokowi turut mendedahkan hasrat kerajaan untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dengan kapasiti penjanaan sasaran 60 gigawatt menjelang 2040.

    Permintaan untuk pelaburan China sejajar dengan kertas putih terkini mengenai Inisiatif Belt and Road (BRI), yang dikeluarkan oleh Beijing awal bulan ini dan menyatakan bahawa negara itu akan menggalakkan kerjasama dalam pembangunan hijau dengan memanfaatkan kepakarannya dalam tenaga boleh diperbaharui, perlindungan alam sekitar dan pembuatan mampan.

    Bagaimanapun, beberapa penganalisis berpendapat bahawa China perlu menyokong komitmennya dengan menghentikan pelaburan dalam loji janakuasa arang batu di Indonesia.

    Menteri penyelarasan sementara hal ehwal maritim dan pelaburan, Erick Thohir sebelum ini berkata bahawa sebarang perkongsian tenaga dengan China akan berjalan selari dengan Just Energy Transition Partnership (JETP), perjanjian AS$20 bilion antara Indonesia dan sekumpulan ekonomi maju untuk mengurangkan pelepasan karbon. Beliau menegaskan bahawa semua kerjasama perlu mengikut terma Indonesia, bukan berdasarkan pelan tindakan negara lain.

    Berpuluh-puluh syarikat Indonesia menandatangani perjanjian bernilai berbilion dolar AS dengan firma China di luar BRF awal minggu ini.

    Sinar Mas mengumumkan dalam kenyataan akhbar pada hari Selasa bahawa anak syarikatnya PT Dian Swastatika Sentosa, bersama PT Agra Surya Energy dan PLN Indonesia Power Reneewables, menjalin usaha sama dengan firma fotovoltaik China Trina Solar yang akan memulakan pembinaan kilang sel solar dan panel bernilai AS$100 juta di Kendal, Jawa Tengah.

    PLN juga menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan China Development Bank (CDB) untuk mempercepatkan usaha peralihan tenaganya. – ANN/The Jakarta Post

    Presiden Indonesia, Joko Widodo berucap semasa majlis perasmian BRF ketiga untuk Kerjasama Antarabangsa di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...