Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia, Malaysia teraju usaha global untuk hak Palestin

    JAKARTA, 24 NOV – Indonesia dan Malaysia, dua negara utama Asia Tenggara, memainkan peranan penting dalam meraih sokongan global untuk Palestin, menurut Profesor Sudarnoto Abdul Hakim dari Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta.

    Sebagai anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dihormati, beliau berkata kedua-dua negara secara konsisten menunjukkan sokongan mereka terhadap Palestin melalui usaha diplomatik dan kemanusiaan.

    Sudarnoto, yang juga Ketua Hubungan Luar dan Kerjasama Antarabangsa Majlis Ulama Indonesia (MUI) baru-baru ini melawat sebuah pusat perlindungan pelarian Palestin di Amman, Jordan.

    Beliau berkongsi bahawa pelarian Palestin melahirkan rasa terima kasih yang mendalam terhadap Indonesia dan Malaysia atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi.

    Di Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul sebagai penyokong lantang hak rakyat Palestin di pentas antarabangsa. Anwar telah menyeru pengiktirafan rasmi Palestin sebagai sebuah negara berdaulat serta penyingkiran Israel daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    Pada mesyuarat antarabangsa peringkat tinggi seperti Sidang Kemuncak G20 di Brazil dan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di Peru, Malaysia di bawah kepimpinan Anwar telah menyokong pembaharuan PBB dan menekankan tindakan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin.

    Anwar turut membangkitkan isu Palestin pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, menggesa tindakan antarabangsa yang lebih tegas terhadap tindakan ketenteraan Israel di Palestin.

    Begitu juga, Presiden Indonesia Prabowo Subianto telah menggunakan platformnya di Sidang Kemuncak G20 untuk menyeru gencatan senjata segera di Gaza, serta di Ukraine. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda