JAKARTA, 30 DIS – Setelah hampir tiga tahun selepas mengumumkan kes pertama COVID di Indonesia, pemimpin negara itu hari ini berkata mereka akan memansuhkan semua sekatan berkaitan koronavirus di seluruh negara.
Presiden Joko Widodo berkata situasi COVID di Indonesia terkawal selepas keadaan bertambah baik sejak 10 bulan kebelakangan, membolehkan negara itu untuk membatalkan sekatan sosial berskala besar ke atas orang ramai.
Semasa pandemik, daripada melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara, pentadbirannya menggunakan dua sistem iaitu PSBB, yang merupakan sekatan sosial berskala besar, dan PPKM, iaitu sistem untuk mengawal mobiliti orang ramai.
Kedua-dua sistem tersebut sangat penting dalam tindak balas kerajaan terhadap pandemik.
PSBB kali pertama dikenakan di negara keempat paling padat penduduk di dunia pada April 2020, sebulan selepas kes pertama direkodkan, sebagai tindakan bertolak ansur terhadap gesaan untuk perintah berkurung yang ketat.
Ia telah diubah menjadi skim kecemasan PPKM pada Julai 2021, apabila jangkitan gelombang kedua yang dipacu oleh varian Delta melanda negara itu.
Perintah darurat kemudian ditukar kepada sistem PPKM yang dibahagikan kepada
empat peringkat, di mana Widodo mengumumkan ia telah dibatalkan serta-merta.
Kajian mendapati hampir keseluruhan penduduk Indonesia telah membangunkan antibodi terhadap SARS-CoV-2, virus yang berpunca daripada COVID, meningkatkan keyakinan bahawa ledakan kes di negara ekonomi terbesar Asia Tenggara itu mampu dielak. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/12/P1-D_31122022-1.jpg)