Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia mulakan pembenihan awan

    JAKARTA, 28 MEI – Indonesia sudah mula melakukan pembenihan awan dalam usahanya merangsang hujan ketika negara gugusan kepulauan itu bertindak menghindari kebakaran hutan tahunan yang dipersalahkan membawa jerebu bertoksik ke seluruh Asia Tenggara.

    Tahun lalu, kebakaran hutan merupakan yang terburuk semenjak 2015 kerana musim kering dengan sekitar 1.6 juta hektar tanah kebanyakannya di Sumatera dan pulau Borneo, musnah akibat kebakaran yang tidak terkawal. Pihak berkuasa mengerahkan berpuluh-puluh ribu kakitangan dan pesawat pengebom air bagi menangani kebakaran yang sering kalinya dilakukan secara sengaja untuk membersihkan tanah bagi tujuan pertanian – termasuk penanaman kelapa sawit dan pulpa.

    Dalam masa dua minggu lalu, Indonesia sudah mula melakukan pembenihan awan – satu teknik yang menggunakan kimia untuk mendorong hujan – di kawasan titik panas, wilayah Riau di Sumatera, dengan rancangan untuk melakukannya di bahagian lain kepulauan itu dan di Borneo.

    Operasi akan berlarutan sepanjang musim kering yang dijangka berakhir sekitar September. “Kami mengambil langkah ini sebelum kebakaran hutan bermula,” kata Tri Handoko Seto di Agensi Penilaian dan Pengaplikasian Teknologi (BPPT) yang disokong kerajaan.

    Fokus awal adalah di kawasan tanah paya, tanah gambut kaya karbon yang mudah terbakar apabila ia dikeringkan bagi penanaman, tambahnya.

    Greenpeace dalam pada itu memberi amaran, jerebu dan pandemik koronavirus global boleh menjadi satu kombinasi maut, selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tahun lalu mengatakan bahawa kebakaran hutan membawa risiko pencemaran kepada berjuta-juta orang. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda

    Minyak harum Nur