JAKARTA, Indonesia, 2 April – Pihak berkuasa Indonesia telah memusnahkan 81 buah kapal asing pada hujung minggu selepas merampas kapal-kapal berkenaan kerana menangkap ikan secara haram di perairan negara.
Negara kepulauan terbesar di dunia itu telah mengambil pendirian tegas menentang penangkapan ikan secara haram sejak Presiden Joko Widodo (Jokowi) menggalas tanggungjawab sebagai presiden pada 2014. Pihak berkuasa telah mengaramkan 317 buah kapal asing sejak itu, termasuk yang ditahan baru-baru ini.
Kapal berkenaan telah diletupkan di laut di 12 lokasi sekitar kepulauan itu kelmarin.
Sebanyak 26 buah kapal telah dimusnahkan di Natuna, pinggir Laut China Selatan dan 10 di kawasan berhampiran pelabuhan laut Tarempa.
Kebanyakan kapal-kapal berkenaan adalah dari Vietnam, Filipina, Malaysia dan Thailand.
Indonesia telah mendukung kedaulatannya dan memerangi penangkapan ikan secara haram, kata Susi Pudjiastuti, menteri Hal Ehwal Maritim dan Perikanan yang menyaksikan pemusnahan dua kapal di pelabuhan Ambon di wilayah Maluku.
“Kami berharap Sino (nama salah sebuah kapal berkenaan) merupakan simbol kemenangan kami menentang penangkapan ikan secara haram selepas bertahun-tahun tewas, terutamanya di timur Indonesia,” kata Pudjiastuti. Dia menyatakan harapan yang tindakan itu akan menghalang para penangkap. – AP