JAKARTA, 17 NOV – Agensi Kuarantin Indonesia (Barantin) mengesahkan pemusnahan 5.7 tan udang dalam 494 karton yang tercemar oleh bahan radioaktif Cesium-137 (Cs-137) merupakan langkah penting bagi memastikan keselamatan makanan, lapor ANTARA.
Pengarah Bahagian Kuarantin Ikan Barantin, Akhmad Alfaraby berkata, tindakan pemusnahan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam melindungi keselamatan makanan serta sumber biologi negara.
“Ini adalah komitmen Barantin untuk memastikan keselamatan makanan,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Dengan kerjasama Pasukan Petugas Pengendalian Cesium-137, Barantin melaksanakan pemusnahan produk udang tercemar Cs-137 pada Sabtu.
Menurut Alfaraby, langkah itu penting bagi memastikan semua produk makanan yang dipasarkan adalah selamat, sihat dan bebas daripada risiko terhadap manusia serta alam sekitar. “Sebanyak 494 karton mengandungi udang tercemar dimusnahkan berdasarkan cadangan Barantin dan Badan Kawal Selia Tenaga Nuklear (Bapeten),” katanya.
Proses pemusnahan dijalankan secara bersepadu bersama Kementerian Alam Sekitar atau Agensi Kawalan Alam Sekitar (KLH/BPLH), Bapeten serta Agensi Penyelidikan dan Inovasi Negara (BRIN) melalui Unit Kluster Cesium-137. – Bernama

