Indonesia pancing pelabur rangsang industri bateri EV

JAKARTA, 29 MEI – Kerajaan Indonesia berusaha menarik pelabur asing untuk membantu membangunkan ekosistem kenderaan elektrik (EV), ketika negara Asia Tenggara itu berada dalam landasan tepat untuk peralihan kepada tenaga hijau.

“Kami yakin pelaburan EV di Indonesia akan memberi keuntungan kerana kami kaya dengan sumber asli yang diperlukan bagi ekosistem EV, termasuk nikel. Dan kami mempunyai pasaran besar di sini,” kata Menteri Industri negara itu, Agus Gumiwang Kartasasmita dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Setakat Januari 2020, Indonesia mempunyai 72 juta tan rizab bijih nikel, komponen utama bagi bateri EV, menurut data dari Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral.

Ia menunjukkan 52 peratus daripada jumlah bijih nikel seluruh dunia, menjadikan Indonesia salah satu pengeluar nikel terbesar di dunia. Penghasilan nikel di negara itu mencecah 2.47 juta tan pada 2021.

Baru-baru ini, Indonesia telah memujuk pengilang kereta elektrik Amerika Syarikat (AS), Tesla untuk melabur di negara itu.

Presiden Indonesia, Joko Widodo bertemu dengan CEO Tesla Inc, Elon Musk di Texas minggu lalu untuk membincangkan potensi pelaburan dalam industri nikel Indonesia dan pembekalan bateri EV.

Menteri Pelaburan, Bahlil Lahadalia berkata perjanjian dengan Tesla telah dimeterai dan projek itu mungkin bermula tahun ini di Kawasan Industri Terpadu Batang di wilayah Jawa Tengah.

Menteri memberitahu semua pelaburan berpotensi bahawa kos pengeluaran di Indonesia akan menjadi lebih murah berbanding dengan negara lain dan kerajaan akan berusaha memudahkan prosedur berkaitan untuk para pelabur. – Xinhua