JAKARTA, 15 JAN – Kerajaan Indonesia menggesa ibu bapa supaya lebih berhati-hati dan telah mengarahkan agensi kesihatan tempatan untuk meningkatkan pemantauan mereka terhadap agensi makanan, selepas beberapa orang kanak-kanak di negara itu mengalami pedih perut akibat snek jalanan yang dibekukan dengan cecair nitrogen.
Makanan ringan yang dikenali sebagai chiki ngebul, telah mendapat perhatian media sosial sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Kanak-kanak di negara itu telah merakam diri mereka memakan snek itu dengan asap daripada cecair nitrogen yang keluar dari mulut mereka.
Bercakap kepada akhbar Khamis lalu, Pengarah Kesihatan Alam Sekitar Kementerian Kesihatan, Anas Ma’ruf berkata terdapat sekurang-kurangnya sembilan insiden yang disahkan akibat makanan ringan itu tahun lalu.
“Daripada data yang kami kumpul, isu daripada makanan ringan tersebut hanya berlaku pada 2022.

Kami menyemak silang data kami dari 2021, 2020 dan 2019 dan tiada laporan mengenainya,” kata Dr Anas.
Kes perubatan pertama Indonesia yang diketahui mengenai makanan ringan itu dilaporkan di Kabupaten Ponorogo, Jawa Timur pada Julai 2022.
Ia melibatkan melecur pada kulit kanak-kanak selepas mereka memakan makanan ringan itu.
Pada bulan November, Kabupaten Tasikmalaya di Jawa Barat melaporkan insiden yang dipercayai berkaitan dengan makanan ringan itu.
Pihak berkuasa kesihatan kemudiannya menolak 16 kes tanpa gejala yang berkaitan, tetapi mengesahkan baki tujuh kes, di mana pesakit menunjukkan gejala loya, muntah, pening dan sakit perut.
Empat kes tambahan dilaporkan di bandar Bekasi, Jawa Barat, pada Disember. Sementara tiga diketepikan kerana tidak menunjukkan simptom yang berkaitan, seorang kanak-kanak berusia empat tahun mengalami sakit perut yang teruk selepas memakan makanan ringan itu.
Bapa kanak-kanak itu, Jamaludin, kemudian memberitahu media Kompas bahawa anaknya memerlukan pembedahan selepas doktor mendapati kekoyakan 2cm di perut.
Pihak berkuasa kesihatan juga sedang menyiasat satu lagi kes yang mungkin berlaku di Jawa Timur. – ANN/The Star

