Indonesia pelan hasilkan vaksin

JAKARTA, 3 SEPT – Presiden Joko Widodo berkata Indonesia merancang untuk mengeluarkan vaksinnya sendiri menjelang pertengahan 2021, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Syarikat tempatan ditugaskan untuk membangunkan vaksin COVID-19 secara usaha sama dan setakat ini perkembangannya sudah mencapai tahap 30 hingga 40 peratus, kata Widodo pada mesyuarat kabinet, pada Selasa.

Beliau berharap ujian klinikal dapat dimulakan seawal tahun 2021 sebelum pengeluaran secara komersial bermula pertengahan tahun depan.

Dikenali sebagai vaksin Merah Putih, ia sedang dibangunkan oleh Kementerian Penyelidikan dan Teknologi diketuai Institut Molekul Biologi Eijkman. Sebelum ini, pengarah institut itu, Amin Soebandrio, berkata vaksin dijangka dapat memenuhi sekurang-kurangnya 50 peratus permintaan dalam negara.

Selain membangunkan vaksin, Indonesia juga sudah menempah 290 juta dos vaksin dan akan dihantar sebelum akhir 2021. – Bernama