JAKARTA, 6 APRIL – Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Presiden Perancis Emmanuel Macron bersetuju untuk mengekalkan kerjasama ekonomi dan perdagangan yang kukuh susulan tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenakan tarif timbal balik terhadap beberapa negara.
Agensi berita ANTARA melaporkan, kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen mereka untuk melanjutkan hubungan dua hala dalam satu perbualan telefon pada malam Jumaat (4 April), dua hari selepas Presiden Trump mengumumkan dasar tarif import terbaharu.
Prabowo menerusi akaun media sosialnya @prabowo kelmarin, berkata kerjasama strategik antara Indonesia dan Perancis bukan sahaja mencerminkan kepentingan nasional masing-masing, tetapi turut menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran serantau serta global.
“Dalam perbincangan saya dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron, kami bersetuju untuk terus memajukan pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat,” kata Prabowo.
Beliau turut mengalu-alukan komitmen Perancis untuk memperkukuh kerjasama dua hala yang kukuh dan berwawasan antara kedua-dua negara.
“Marilah kita tingkatkan sinergi dan bina masa depan demi kemajuan bersama,” katanya.
“Kami telah bersetuju untuk memperkukuh hubungan antara negara dengan projek-projek yang bercita-cita tinggi dan berpandangan jauh.
“Pendekatan bersejarah yang sedang kami usahakan ini akan direalisasikan semasa lawatan negara saya ke Indonesia pada penghujung Mei,” kata Macron. – Bernama
