JAKARTA, 15 DIS – Berdepan dengan penurunan tahunan dalam pengeluaran minyak pasca jualan dan gangguan pada rantaian bekalan global, Indonesia menghadapi cabaran besar untuk mengekalkan keterjaminan bekalan minyak, lapor Xinhua.
Gangguan pada rantaian bekalan global akibat konflik antarabangsa yang semakin memuncak menyebabkan ketidakstabilan harga minyak dunia, sekali gus memberi kesan kepada import minyak Indonesia.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Indonesia berubah daripada negara pengeksport minyak bersih kepada pengimport minyak bersih akibat telaga minyak yang semakin tua dan pelaburan yang perlahan.
Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia, negara kini mengimport satu juta tong minyak sehari dengan kos tahunan mencecah 500 trilion rupiah (kira-kira AS$31.33 bilion).
Pengeluaran minyak pasca jualan Indonesia menurun kepada sekitar 600,000 tong sehari tahun ini, berbanding 605,500 tong sehari tahun lepas. Selain itu, pembelian minyak turut terjejas oleh ketidakstabilan harga di pasaran global, manakala permintaan tenaga meningkat seiring dengan pertumbuhan ekonomi.
Bagi menangani cabaran ini, kerajaan Indonesia melaksanakan beberapa langkah, termasuk meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang penapisan, membina simpanan minyak, mempergiat eksplorasi dan mengaktifkan semula telaga minyak lama atau yang tidak digunakan.
Sementara itu, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap harga minyak global yang tidak stabil, Bahlil menyatakan Indonesia bercadang membina kemudahan simpanan minyak di sebuah pulau berhampiran Singapura.
Kemudahan ini akan membolehkan syarikat minyak dan gas milik negara PT Pertamina membeli minyak secara pukal apabila harga rendah dan menyimpannya untuk digunakan apabila harga meningkat. Kemudahan itu direka untuk menyimpan pelbagai jenis minyak bagi tempoh 30 hingga 40 hari, melebihi kapasiti simpanan semasa negara sebanyak 21 hari. – Bernama