Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia, Peru meterai perjanjian perdagangan baharu

    JAKARTA, 11 OGOS – Indonesia dan Peru memeterai perjanjian perdagangan hari ini, ketika pemimpin kedua-dua negara bertemu di Jakarta, dengan ekonomi terbesar Asia Tenggara itu berusaha menembusi pasaran Amerika Selatan.

    Perjanjian tersebut dimeterai selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenakan kadar tarif sebanyak 19 peratus ke atas import dari Indonesia di bawah satu pakatan baharu baru-baru ini.

    Presiden Peru, Dina Boluarte disambut de-ngan perarakan dan nyanyian lagu kebangsaan daripada kumpulan pancaragam di majlis rasmi di Istana Presiden di ibu negara Indonesia sebelum mengadakan perbincangan.

    Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, berkata kedua-dua pemimpin kemudian menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Menyeluruh (CEPA) yang akan memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara selepas beliau mengunjungi Lima pada tahun lalu.

    “Perjanjian ini akan memperluas akses pasaran dan merancakkan aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara,” kata Prabowo selepas pertemuan tersebut.

    Prabowo Subianto (kiri) dan Dina Boluarte menyaksikan sekumpulan kanak-kanak mengibar bendera kedua-dua negara sebelum mesyuarat di Istana Merdeka, Jakarta, kelmarin. – AFP

    “Kebiasaannya, perjanjian seperti ini mengambil masa bertahun-tahun, namun Indonesia dan Peru berjaya memuktamadkannya dalam tempoh 14 bulan.”

    Kedua-duanya turut bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan, dadah, keselamatan makanan, tenaga, perikanan dan perlombongan, katanya tanpa memberikan butiran lanjut.

    Pada tahun 2024, eksport Indonesia ke Peru bernilai AS$329.4 juta manakala eksport Peru ke Indonesia berjumlah AS$149.6 juta, menurut data Kementerian Perdagangan.

    Lawatan Boluarte ini merupakan kunjungan balas selepas Prabowo melawat Peru pada November lalu bagi menghadiri Sidang Kemuncak APEC.

    Menteri Perdagangan Indonesia sebelum ini berkata perjanjian ekonomi itu akan membolehkan barangan Indonesia menembusi pasaran di Amerika Tengah dan Selatan.

    Boluarte, 63, merupakan pemimpin yang tidak popular di negaranya dan berdepan protes susulan peningkatan keganasan geng.

    Pada Mei lalu, kadar kepopularannya dilaporkan sekitar dua peratus sahaja. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda